Formula Satu Sebastian Vettel

Vettel semasa sesi latihan bebas di Grand Prix Brazil 2006.Vettel membuat penampilan sulung Formula Satunya di Grand Prix Amerika Syarikat 2007 dengan memandu untuk BMW Sauber.

BMW Sauber (2006–2007)

2006

Vettel menjadi pemandu ketiga BMW Sauber di Grand Prix Turki apabila Robert Kubica telah dipanggil untuk menggantikan Jacques Villeneuve bagi Grand Prix Hungary.

Pada penampilan sulung beliau dalam sebuah sesi ujian Formula Satu, Vettel menetapkan masa terpantas pada Sesi Latihan Bebas pada hari Jumaat sebelum perlumbaan.[9] Pada sesi ujian keduanya di Grand Prix Itali, beliau menetapkan masa terpantas pada kedua-dua sesi latihan hari Jumaat, di mana kesemua kereta BMW mencatatkan masa yang pantas, dan Robert Kubica berjaya menamatkan perlumbaan di atas podium.

2007

Vettel telah disahkan sebagai pemandu ujian BMW bagi musim 2007.[10] Berikutan kemalangan serius Kubica di Grand Prix Kanada, Vettel menggantikan beliau untuk Grand Prix Amerika Syarikat. Vettel telah menarik diri pada pertengahan musim siri Formula Renault. Beliau bermula dari tempat ketujuh dan menamatkan perlumbaan di tempat kelapan, dan menjadi pemandu termuda untuk mendapat mata dalam Formula Satu (pada umur 19 tahun dan 349 hari), rekod ini dahulunya dipegang oleh Jenson Button, yang berusia 20 tahun dan 67 hari apabila dia mendapat tempat keenam di Grand Prix 2000 Brazil.[11]

Toro Rosso (2007–2008)

2007

Pada 31 Julai 2007, BMW melepaskan Vettel untuk menyertai pasukan Toro Rosso, dan menggantikan Scott Speed dari Grand Prix Hungary dan seterusnya.[12] Beliau mendapat kira-kira AS$ 165,000 selepas menamatkan musim ini dengan Toro Rosso.[13] Sebelum perlumbaan tersebut, Toro Rosso menyatakan bahawa Vettel akan memandu untuk mereka bagi musim 2008.[14]

Vettel memandu STR2 di Grand Prix Brazil 2007.

Vettel bergelut dalam beberapa perlumbaan pertamanya dengan pasukan baharunya itu, tetapi Vettel dapat berkecimpung dengan baik dalam perlumbaan kelima dan keenamnya. Dalam suasana hujan di Grand Prix Jepun di Fuji Speedway, Vettel berkerja keras sehingga ke tempat ketiga, di belakang Lewis Hamilton dan Mark Webber, dan seakan-akan mendapat podium pertamanya dan untuk Toro Rosso. Walau bagaimanapun, Vettel terempuh belakang kereta Webber di bawah keadaan kereta keselamatan. Webber berkata kepada wartawan ITV, Louise Goodman, "Dia ni seorang budak... budak dengan pengalaman yang tidak cukup - anda melakukan kerja dengan baik dan kemudian mereka menghancurkan kesemuanya". Vettel pada mulanya dihukum dengan penalti 10-petak kedudukan bagi perlumbaan berikutnya, namun penalti tersebut ditarik balik selepas sebuah rakaman video penonton di YouTube menunjukkan bahawa kejadian tersebut mungkin berlaku disebabkan oleh kelakuan Hamilton di belakang kereta keselamatan.

Pemilik Red Bull, Dietrich Mateschitz menyatakan yang Vettel telah memenangi kepercayaan beliau, dan Vettel akan menjadi salah satu bintang besar Formula Satu pada masa akan datang. "Vettel ialah salah satu daripada orang-orang muda dengan potensi yang luar biasa [...] Beliau sangat cepat, bijak, dan sangat berminat dalam bahagian teknikal."[15]

2008

Musim 2008 tidak bermula dengan baik bagi Vettel. Beliau gagal menamatkan keempat-empat perlumbaan pertamanya bagi musim ini. Namun di Grand Prix Turki beliau mendapat tempat ke-17. Pada perlumbaan seterusnya di Monaco, Vettel mendapat mata pertamanya bagi musim ini dengan mendapat tempat kelima. Beliau sekali lagi mendapat mata di Grand Prix Kanada, selepas bergelut dengan Heikki Kovalainen pada saat-saat akhir perlumbaan untuk mendapat mata kejuaraan terakhir, setelah memulakan perlumbaan tersebut dari lorong pit. Di Grand Prix Perancis, Vettel mendapat tempat ke-12. Di Grand Prix British, Vettel terpaksa bersara selepas dilanggar oleh David Coulthard dan terperangkap di atas batu kerikil bersamanya. Vettel sekali lagi mendapat mata di Grand Prix Jerman, setelah menangkis Fernando Alonso dan mendapat tempat kelapan. Vettel bersara di Grand Prix Hungary selepas enjin keretanya menjadi terlalu panas semasa perhentian pit pertamanya. Di Grand Prix Eropah, Vettel menamatkan perlumbaan di tempat keenam, dua saat di belakang Jarno Trulli.

Vettel memandu untuk pasukan Toro Rosso di Grand Prix Kanada 2008.

Di Grand Prix Itali, Vettel menjadi pemandu termuda dalam sejarah untuk memenangi Grand Prix Formula Satu.[16] Pada umur 21 tahun dan 74 hari, Vettel memecahkan rekod yang ditetapkan oleh Fernando Alonso di Grand Prix Hungary 2003 apabila Vettel menang dalam keadaan basah di Monza.[17] Vettel mendahului majoriti Grand Prix tersebut dan melintasi garisan penamat 12.5 saat di hadapan pemandu McLaren, Heikki Kovalainen. Ia merupakan podium pertamanya dan kemenangan pertama pasukan Toro Rosso. Beliau menjadi pemandu termuda untuk mendapat petak pertama, selepas menetapkan masa terpantas pada sesi kelayakan bahagian kedua dan ketiga. Beliau juga menjadi pemandu yang termuda untuk mendapat podium. Bos pasukan Toro Rosso, Gerhard Berger berkata, "Seperti hari ini, beliau membuktikan yang dia boleh memenangi perlumbaan, namun dia boleh memenangi Kejuaraan Dunia. Dia seorang lelaki yang cool".[18] Vettel kemudiannya mendapat tempat kelima di Grand Prix Singapura. Di Japan, beliau mendapat tempat keenam selepas dinaikan dari tempat ketujuh selepas Bourdais dikenakan penalti kerana berlanggar dengan Felipe Massa.

Di Grand Prix Brazil, selepas bergelut setinggi tempat kedua, Vettel memintas Lewis Hamilton dalam keadaan hujan untuk tempat kelima pada pusingan kedua terakhir untuk menyumbang kepada klimaks yang mendebarkan bagi musim ini. Vettel hampir menyebabkan pemandu McLaren itu kehilangan kejuaraannya sebelum Timo Glock memperlahankan keretanya pada pusingan terakhir (Glock bergelut dengan tayar kering dalam keadaan hujan lebat) dan membolehkan kedua-dua Vettel dan Hamilton memintas Glock. Hamilton memenangi Kejuaraan Pemandu Dunia tahun tersebut dan Vettel mendapat tempat keempat.

Selepas tamatnya musim 2008, Vettel dinamakan sebagai Rookie of the Year di Autosport Awards.[19]

Red Bull (2009–kini)

2009

Vettel di Grand Prix Jepun 2009.

Pada awal musim 2009, Vettel menggantikan David Coulthard yang bersara, dan bermula dengan kukuh di Grand Prix Australia, dengan mendapat tempat ketiga pada pusingan kelayakan dan berada pada kedudukan kedua untuk majoriti perlumbaan tersebut. Walau bagaimanapun, beliau berlanggar dengan Robert Kubica ketika berebut untuk tempat kedua pada saat-saat akhir perlumbaan yang memaksa kedua-dua mereka bersara. Vettel cuba untuk menamatkan perlumbaan dengan tiga roda belakang keretanya di bawah keadaan kereta keselamatan untuk mengutip beberapa mata kejuaraan, namun beliau terpaksa bersara dari perlumbaan tersebut. Beliau menyangka bahawa beliau dapat mencuba taktik ini kerana dengan adanya bendera kuning, pemandu lain tidak boleh memotongnya. Sebaliknya beliau diberikan penalti 10-petak kedudukan untuk perlumbaan seterusnya di Malaysia dan Red Bull Racing telah didenda kerana mengarahkan beliau untuk meneruskan perlumbaan walaupun selepas kerosakan itu berlaku.[20] Di Malaysia, beliau berjaya untuk mendapat tempat ketiga pada pusingan kelayakan, namun telah diturunkan ke tempat ke-13 disebabkan penalti beliau. Vettel kemudiannya bersara dari perlumbaan tersebut, sejurus sebelum perlumbaan dihentikan kerana keadaan cuaca yang buruk.[21] Walau bagaimanapun di Grand Prix China, beliau mendapat petak pertama kedua kerjayanya, dan yang pertama bagi Red Bull Racing. Beliau memenangi perlumbaan tersebut di hadapan rakan sepasukan, Mark Webber.[22] Pada usia 21 tahun dan 287 hari, Vettel menjadi pemandu Grand Prix termuda dalam sejarah Formula Satu untuk memenangi perlumbaan untuk dua pasukan yang berbeza, selepas memenangi Grand Prix Itali 2008 untuk pasukan Toro Rosso.

Di Bahrain, Vettel bermula dari tempat ketiga, dan menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Di Grand Prix Sepanyol, beliau mendapat tempat kedua pada pusingan kelayakan, namun menamatkan perlumbaan tersebut di tempat keempat. Vettel memenangi Grand Prix British selepas mendapat petak pertama.[23] Di Grand Prix Jerman, beliau menamatkan perlumbaan di tempat kedua, di belakang Webber, yang memenangi perlumbaan Grand Prix pertamanya.[24] Di Hungary, Vettel terpaksa bersara daripada perlumbaan selepas mengalami kerosakan pada keretanya selepas berlanggar dengan kereta Kimi Räikkönen pada pusingan pertama.[25]

Vettel memenangi perlumbaan sulung Grand Prix Abu Dhabi.

Di Grand Prix Eropah, beliau terpaksa bersara kerana mengalami kegagalan enjin.[26]. Beliau menduduki tempat ketiga pada pusingan kelayakan di Spa-Francorchamps. Beliau memenangi Grand Prix Jepun dari petak pertama dan mengetuai setiap pusingan perlumbaan tersebut.[27]

Di Brazil, Vettel hanya mampu bermula dari tempat ke-16 disebabkan hujan. Vettel perlu mendapat sekurang-kurangnya tempat kedua pada perlumbaan tersebut untuk memenangi Kejuaraan Pemandu Dunia Pemandu pertamanya. Beliau mendapat tempat keempat dan Button menamatkan perlumbaan tersebut di belakangnya, dan menyebabkan Button memenangi gelarantersebut. Secara rasminya, Vettel menamatkan musim 2009 di tempat kedua selepas memenangi Grand Prix Abu Dhabi, sekali lagi di hadapan Webber dengan Button melengkapkan kedudukan podium. Pada akhir musim 2009, Vettel memenangi anugerah DHL Fastest Lap Award.[28]

2010

Vettel memandu untuk Red Bull Racing di Grand Prix Bahrain 2010.

Vettel meneruskan kerjayanya dengan Red Bull bagi musim 2010 dan mendapat petak pertama di Grand Prix Bahrain. Vettel mengetuai kebanyakan pusingan perlumbaan tersebut, namun kegagalan palam pencucuhnya menyebabkan kereta beliau lebih perlahan daripada kedua-dua kereta Ferrari dan McLaren. Hamilton berjaya memotong Vettel dalam perlumbaan tersebut. Selepas cabaran yang ringkas dari Rosberg, beliau akhirnya mendapat tempat keempat.

Di Grand Prix Australia, Vettel dilantik sebagai seorang pengarah Persatuan Pemandu Grand Prix.[29] Beliau bermula dari tempat kedua di Australia, di hadapan rakan sepasukan, Webber, namun bersara dari perlumbaan tersebut kerana skru tayar keretanya longgar ketika mengetuai perlumbaan. Di Grand Prix Malaysia, dia mendapat kemenangan pertamanya dalam musim ini selepas memotong Webber dan Nico Rosberg pada sekeloh pertama perlumbaan.[30]

Vettel bermula dari petak pertama di China. Pada permulaan perlumbaan basah, Fernando Alonso 'bermula-lompat',[31] dan Vettel dipotong oleh Webber, lalu jatuh ke tempat ketiga. Hujan yang semakin lebat memaksa Vettel dan Webber untuk memasuki pit mereka pada masa yang sama untuk menukar tayar mereka. Vettel dengan perlahannya bangkit kembali untuk mendapat tempat keenam, dan Webber mendapat tempat ketujuh. Di Grand Prix Sepanyol, Vettel mengalami masalah brek utama namun Vettel berjaya mendapat tempat ketiga selepas Hamilton terbabas pada pusingan kedua terakhir perlumbaan.

Di Grand Prix Monaco, Vettel memotong Kubica dan Red Bull mendapat keputusan 1-2. Vettel memulakan perlumbaannya di Grand Prix Eropah di petak pertama dan mendapat kemenangan keduanya musim ini.

Vettel bermula dari petak pertama di Abu Dhabi untuk menjuarai Kejuaraan Dunia Pemandu Formula Satu pertama beliau.

Di Grand Prix British, kedua-dua kereta Vettel dan Webber telah dipasang dengan reka bentuk sayap depan yang baru. Sayap depan Vettel telah rosak dalam sesi latihan bebas ketiga dan sayap depan tunggal Webber yang masih berfungsi telah dikeluarkan dan diberikan kepada Vettel. Vettel mendapat petak pertama namun beliau mengalami kebocoran tayar. Beliau kemudiannya mendapat tempat ketujuh, sementara Webber memenangi Grand Prix tersebut. Di Grand Prix Jerman, beliau mendapat petak pertama dan mendapat tempat ketiga selepas memulakan perlumbaan dengan teruk. Di Grand Prix Itali, beliau mendapat tempat keempat. Di Jepun, beliau mendapat petak pertama berjaya memenangi perlumbaan tersebut. Pada umur 23 tahun dan 98 hari, Vettel menjadi pemandu termuda untuk menang di litar yang sama sebanyak dua kali, setelah memenangi Grand Prix Jepun 2009 di Suzuka pada tahun 2009. Di Grand Prix Korea yang pertama, Vettel mendapat petak pertama sekali lagi dan mengetuai 45 pusingan pertama perlumbaan tersebut sebelum bersara kerana kegagalan enjin. Alonso memenangi perlumbaan tersebut.

Di Grand Prix Brazil, Vettel mendapat tempat kedua pada pusingan kelayakan, namun berjaya memenangi perlumbaan. Dengan Red Bull mendapat keputusan 1-2 di Brazil, Red Bull Racing memenangi Kejuaraan Pengeluar Dunia Formula Satu yang pertama mereka. Vettel menang di Abu Dhabi setelah bermula dari petak pertama sekali lagi dan mendahului Kejuaraan Pemandu Dunia untuk pertama kali dalam kerjayanya dan menjadi juara dunia termuda dalam Formula Satu.[32]

2011

Vettel di Grand Prix Malaysia 2011.

Selepas pembatalan Grand Prix Bahrain, Vettel memulakan musim 2011 dengan penuh gaya di Australia dengan mendapat petak pertama dan memenangi perlumbaan tersebut di hadapan pemandu McLaren, Lewis Hamilton. Vettel terus mempertahankan gelarannya di Grand Prix Malaysia, di mana beliau menang sekali lagi. Vettel mendapat petak pertama di Grand Prix China, dan mendominasi perlumbaan tersebut, namun pengurusan tayar yang tidak teratur menghantui beliau pada saat-saat akhir perlumbaan dan beliau menamatkan perlumbaan di tempat kedua.[33]

Di Grand Prix Turki, beliau mendapat petak pertama yang kelimanya berturut-turut dan memenangi perlumbaan tersebut. Di Grand Prix Sepanyol, coretan petak pertama beliau berakhir kerana KERS beliau gagal berfungsi. Rakan sepasukan beliau, Webber, mendapat petak pertama, namun Vettel memenangi perlumbaan tersebut.[34] Di Monaco, beliau mendapat petak pertama dengan masa kedua terpantas kelayakan dalam sejarah Grand Prix Monaco. Beliau berjaya memenangi perlumbaan tersebut di hadapan pemandu Ferrari, Fernando Alonso.

Vettel di Grand Prix Monaco, di mana beliau memenangi perlumbaan kelimanya dari enam perlumbaan musim ini.

Di Grand Prix Kanada, beliau mendapat petak pertama, namun menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Di Grand Prix Eropah, FIA menguatkuasakan pengharaman pemetaan enjin. Ia telah dipercayai oleh pihak media bahawa ia adalah satu percubaan oleh FIA untuk menggagalkan penguasaan Vettel musim ini.[35] Perubahan ini sedikit sebanyak menghalang Vettel untuk mencatatkan masa pusingan terpantas.

Vettel di Grand Prix Singapura 2011.

Di Grand Prix Jerman, beliau bermula dari tempat ketiga, namun gagal mendapat podium selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat. Cengkaman mekanikal kereta McLaren menewaskan pasukan Red Bull dalam keadaan hujan di Grand Prix Hungary. Walaupun mendapat petak pertama, beliau dipotong oleh kedua-dua Hamilton dan Button. Vettel akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Di Belgium, Vettel memenangi perlumbaan ketujuhnya dalam musim ini, dan yang ke-17 dalam kerjayanya. Di Itali, beliau mendapat petak pertama dan memenangi perlumbaan tersebut selepas memotong Alonso, yang telah mendahului Vettel pada awal perlumbaan. Di Singapura, Vettel menang sekali lagi dan mendapat kemenangan kesembilan beliau bagi musim ini dengan baki lima perlumbaan.

Vettel di Grand Prix Jepun 2011, di mana beliau memenangi Kejuaraan Dunia Pemandu yang keduanya.

Vettel tiba di Grand Prix Jepun dengan memerlukan hanya satu mata kejuaraan untuk memenangi Kejuaraan Pemandu Dunia yang keduanya. Beliau menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan berjaya merangkuli kejuaraan tersebut. Di Grand Prix Korea, Vettel bermula dari tempat kedua, namun berjaya memenangi perlumbaan tersebut. Vettel mendapat kemenangan terakhirnya bagi musim ini di India setelah mendahului setiap pusingan dari petak pertama, serta menetapkan masa terpantas pusingan perlumbaan tersebut pada pusingan terakhir.

Di Abu Dhabi, Vettel mendapat petak pertama, tetapi beliau bersara pada pusingan pertama disebabkan tayar keretanya pancit. Vettel kemudiannya memecahkan rekod untuk petak pertama yang terbanyak banyak dalam satu musim pada perlumbaan seterusnya di Brazil. Beliau mendahului perlumbaan perlumbaan tersebut, tetapi masalah masalah kotak gear pada awal perlumbaan menghantuinya. Beliau membenarkan rakan sepasukannya, Webber, untuk memotong beliau selepas masalah kotak gearnya semakin teruk. Walaupun dengan masalah ini, Vettel menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Vettel menamatkan musim 2011 dengan 15 petak pertama, 11 kemenangan dan 17 podium dari 19 perlumbaan. Beliau juga mendapat rekod jumlah mata sebanyak 392 pada musim ini.

2012

Vettel di Grand Prix Malaysia 2012.

Vettel kekal bersama Red Bull bagi musim 2012,[36] dan sekali lagi menjadi rakan sepasukan Mark Webber. Vettel mendapat tempat kedua pada perlumbaan pembukaan musim ini di Australia.[37] Vettel bermula dari tempat kelima di Malaysia, setelah dinaikkan kedudukan selepas Kimi Räikkönen menerima penalti. Namun, salah satu daripada tayar Vettel pancit setelah dilanggar oleh kereta HRT kepunyaan Narain Karthikeyan pada pusingan ke-47. Vettel jatuh ke tempat ke-12 selepas menggantikan tayar yang pancit itu dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-12, selepas Pastor Maldonado bersara pada peringkat akhir perlumbaan kerana kegagalan enjin.

Selepas perlumbaan di Malaysia, Vettel dan bos Red Bull, Christian Horner mengkritik gaya pemanduan Karthikeyan dan Vettel memanggil Karthikeyan "bodoh".[38] Karthikeyan membalas kembali dengan memanggil Vettel sebagai "pengadu". Kemudiannya Karthikeyan dan Vettel memutuskan untuk berdamai.

Vettel mendapat kemenangan pertamanya bagi musim 2012 di Bahrain.

Vettel mendapat petak pertama di Bahrain dan berjaya memenangi perlumbaan tersebut. Di Sepanyol, beliau berjaya mengekalkan kedudukan beliau sebagai pendahulu kejuaraan pemandu, namun hanya mendapat tempat keenam setelah bermula dari tempat ketujuh. Di Monaco, beliau memulakan perlumbaan di tempat kesepuluh kerana tidak mengambil bahagian dalam sesi kelayakan bahagian ketiga, dengan alasan untuk menjimat tayar bagi perlumbaan hari berikutnya. Beliau menamatkan perlumbaan tersebut di tempat keempat. Di Grand Prix Eropah, beliau mendapat petak pertama yang ke-33 kerjayanya. Namun kegembiraan beliau tidak bertahan lama selepas pengulang-alik keretanya rosak ketika beliau mendahului perlumbaan tersebut. Di Grand Prix British, Vettel mendapat tempat keempat dalam sesi yang dilanda hujan dan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, dan mendapat podium pertamanya selepas Grand Prix Bahrain. Di Jerman, Vettel mendapat tempat kedua pada pusingan kelayakan dalam keadaan hujan lebat. Di saat-saat akhir perlumbaan, Vettel memotong Jenson Button untuk tempat kedua dan berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Namun selepas perlumbaan, steward perlumbaan menambah 20 saat kepada klasifikasi beliau kerana memotong Button di luar kawasan yang dibenarkan dan menjatuhkan beliau ke tempat kelima. Di Grand Prix Hungary, Vettel mendapat tempat keempat selepas bermula dari tempat ketiga. Di Grand Prix Belgium, Vettel tidak dapat melayakkan diri ke pusingan kelayakan bahagian ketiga, dan terpaksa bermula dari tempat ke-11. Namun beliau berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua setelah beraksi dengan cemerlang pada perlumbaan tersebut. Di Grand Prix Itali, beliau gagal untuk menamatkan perlumbaan kerana pengulang-alik keretanya rosak sekali lagi. Situasi ini juga berlaku pada Vettel di Grand Prix Eropah pada awal musim.

Vettel di Grand Prix Singapura 2012.

Akhirnya di Singapura, Vettel berjaya mencari jejak kejayaannya dengan memenangi perlumbaan tersebut selepas Lewis Hamilton terpaksa bersara pada awal perlumbaan disebabkan masalah kotak gear. Vettel mendapat kemenangan keduanya berturut-turut selepas memenangi perlumbaan di Jepun, setelah bermula dari petak pertama. Beliau juga menerajui kesemua pusingan dalam perlumbaan tersebut dan tidak menerima sebarang tekanan daripada Felipe Massa, yang mendapat tempat kedua. Di Grand Prix Korea, Vettel terpaksa bermula dari tempat kedua selepas rakan sepasukan, Mark Webber, mendapat petak pertama. Namun begitu, Vettel berjaya memotong Webber pada selekoh pertama dan memenangi perlumbaan tersebut, serta menerajui kesemua pusingan perlumbaan. Di India, Vettel memulakan perlumbaan dari petak pertama dan memenangi perlumbaan tersebut, termasuk menerajui kesemua pusingan perlumbaan. Namun beliau gagal untuk mendapat Grand Slam selepas Jenson Button menetapkan masa pusingan terpantas perlumbaan pada pusingan terakhir perlumbaan.

Vettel di Grand Prix Amerika Syarikat

Grand Prix Abu Dhabi merupakan sesi kelayakan yang paling berkontroversi dalam kerjaya Vettel, setelah menetapkan masa ketiga terpantas pada Q3. Selepas itu, Vettel telah diberitahu untuk memberhentikan keretanya. Isu pam bahan api kemudiannya didapati menjadi punca masalah ini dan beliau diberikan penalti, bermaksud Vettel perlu memulakan perlumbaan dari petak belakang, tetapi Red Bull kemudiannya memutuskan untuk membuat beberapa perubahan kepada kereta, dan Vettel bermula dari lorong pit. Walau bagaimanapun, dalam perlumbaan, Vettel berjaya untuk menamatkan perlumbaan di atas podium setelah mendapat tempat ketiga. Selepas mendapat podium di Grand Prix Amerika Syarikat, Vettel mempunyai peluang yang besar untuk memenangi Kejuaraan Pemandu Dunia yang ketiga beliau di Brazil. Vettel memulakan perlumbaan di Brazil dengan kelebihan 13-mata di hadapan pesaing utama, Fernando Alonso. Pada awal perlumbaan, Vettel berpusing selepas berlanggar dengan Bruno Senna, dan jatuh ke tempat terakhir. Namun begitu, Vettel berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keenam, manakala Alonso mendapat tempat kedua. Dengan ini, Vettel memenangi Kejuaraan Pemandu Dunia dengan tiga mata di hadapan Alonso.[2] Ini adalah kejuaraan dunia ketiga dan berturut-turut yang dimenangi oleh Vettel, dan sekaligus menjadi pemandu termuda untuk memenangi tiga kejuaraan pemandu.[2] Vettel juga menjadi pemandu yang ketiga untuk memenangi tiga kejuaraan berturut-turut, selepas Juan Manuel Fangio dan Michael Schumacher.[39]

2013

Vettel (kiri) memintas rakan sepasukan, Mark Webber (kanan), di Grand Prix Malaysia 2013 walaupun pasukannya menyuruh untuk tidak berbuat demikian.

Vettel memulakan musim kelimanya bersama Red Bull Racing dengan mendapat petak pertama di Grand Prix Australia 2013,[40] sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, 22 saat di belakang pemenang, Kimi Räikkönen.[41] Beliau mendapat petak pertama sekali lagi di Grand Prix Malaysia,[42] dan kemudiannya memenangi perlumbaan tersebut dalam keadaan kontroversi apabila Vettel mengabaikan arahan daripada pasukannya untuk tidak memintas rakan sepasukan, Mark Webber. Sebelum perlumbaan tersebut bermula, pasukan telah bersetuju bahawa kedua-dua pemandu bebas untuk berlumba sesama-sendiri sebelum perhentian pit terakhir, dan sesiapa yang berada di hadapan selepas perhentian pit terakhir akan memenangi perlumbaan itu. Pasukan Red Bull berada di tempat pertama dan kedua selepas perhentian pit terakhir, dengan Webber keluar daripada pit dan mendahului perlumbaan, dan menjangkakan bahawa Vettel akan mengekalkan kedudukannya. Vettel, bagaimanapun, mengabaikan perintah tersebut, dan memintas Webber dengan baki sebelas pusingan. Webber naik berang selepas perlumbaan, dan mendakwa bahawa Vettel tidak akan dikenakan apa-apa tindakan atas perbuatanya itu kerana beliau akan dilindungi oleh pasukan.[43] Ketua pasukan, Christian Horner menafikan perkara ini, dengan menunjukkan bahawa Webber telah mencabar perintah pasukan beberapa kali sebelum ini, tetapi mengakui bahawa hubungan antara kedua-dua pemandunya itu tidak akan pulih lagi.[44] Pengurus Webber dan bekas ketua pasukan, Flavio Briatore, mendakwa bahawa kejadian tersebut telah merosakkan hubungan mereka.[45] Vettel memohon maaf atas tindakannya, dengan mendakwa telah mengabaikan perintah itu secara tidak sengaja, walaupun mengetahui bahawa beliau perlu mengekalkan kedudukannya. Vettel kemudiannya menarik balik permohonan maafnya, dan mendakwa bahawa beliau tidak berasa salah selepas memenangi perlumbaan tersebut, dan jika keadaan ini berlaku lagi, beliau akan tetap memintas Webber walaupun pasukannya tidak menyuruhnya untuk berbuat demikian, sambil menambah bahawa beliau merasakan yang Webber tidak layak untuk memenangi perlumbaan tersebut.[46]

Di Grand Prix China, Vettel bermula di tempat kesembilan, selepas tidak menetapkan sebarang masa pada sesi kelayakan bahagian ketiga, sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ke-4, dan menetapkan masa pusingan terpantas. Vettel menang selepas bermula di tempat kedua di Bahrain, dengan memintas Nico Rosberg pada awal perlumbaan. Vettel kekal sebagai pendahulu kejuaraan selepas mendapat tempat ke-4 di Sepanyol, dan ke-2 di Grand Prix Monaco. Vettel memenangi perlumbaan di Montreal setelah bermula dari petak pertama dan selepas perlumbaan tersebut, beliau mendahului kejuaraan dengan 36 mata di hadapan Fernando Alonso.

Masa hadapan

Pada 21 Ogos 2009, ia diumumkan bahawa Vettel telah melanjutkan kontraknya bersama Red Bull sehingga akhir musim 2011,[47] dengan pilihan untuk musim 2012. Pilihan tersebut telah diambil oleh Vettel pada 14 Mac 2011 dan Vettel melanjutkan kontraknya dengan pasukan itu sehingga akhir tahun 2014.[48] Vettel pernah meluahkan hasratnya untuk berlumba bersama pasukan Ferrari pada satu hari nanti, dan diketahui bahawa Vettel tidak terikat dengan pra-kontrak bersama Ferrari, manakala Red Bull percaya bahawa beliau akan kekal bersama mereka selagi Red Bull membekalkan kereta yang berdaya saing.[49] Sebelum Grand Prix Jepun 2011, penasihat Red Bull, Helmut Marko, meluahkan perasaan beliau untuk melanjutkan kontrak Vettel selama dua tahun, sehingga tahun 2016.[50]

Berkaitan

Rujukan

WikiPedia: Sebastian Vettel http://www.tsn.ca/auto_racing/story/?id=249341&lid... http://www.tsn.ca/auto_racing/story/?id=249484&lid... http://flagworld.auto123.com/en/racing/news/index,... http://www.autosport.com/news/report.php/id/106393 http://www.autosport.com/news/report.php/id/106631 http://www.autosport.com/news/report.php/id/55728 http://www.autosport.com/news/report.php/id/61270 http://www.autosport.com/news/report.php/id/61531 http://www.autosport.com/news/report.php/id/64749 http://www.autosport.com/news/report.php/id/74059